«

»

Apr
05

Pendekatan Wasatiyyah dalam Transformasi Undang-Undang Islam (Bhg 3)

Permasalahan yang berlaku adalah kerana negeri mempunyai kebebasan untuk membuat sebarang pindaan terhadap Undang-undang Islam di negeri.

Mekanisme Penyelarasan Dan Penyeragaman Undang-undang Islam Di Malaysia

Bagi JAKIM, permasalahan yang dihadapi ialah konflik bidang kuasa yang wujud di antara kerajaan di peringkat Pusat dan negeri. Selain itu, rang undang-undang yang dicadangkan oleh JAKIM mendapat tentangan ahli-ahli Parlimen bukan Islam. Juga, keterbasan kuasa Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil.

Isu seterusnya ialah perkhidmatan hakim syarie. Tiada badan pemilih hakim syarie untuk mengenal pasti calon yang layak dan sesuai sebagai hakim syarie. Sehubungan dengan itu juga ialah tiadanya garis panduan/dasar pengurusan hal-ehwal negara Islam. Antara punca yang dapat dikenal pasti ialah tiada bahan penyelaras perundangan Islam yang berkesan di peringkat pusat dengan peringkat negeri.

Disebabkan tidak adanya sebarang badan penyelaras yang berkesan maka, mewujudkan satu jawatan kuasa penyelaras di peringkat negeri dan Persekutuan tentunya satu cadangan yang difikirkan amat releven. Untuk menyokong dan memperkukuhkan usaha tersebut, peranan DYMM Sultan dalam menentukan sesuatu perundangan Islam di negeri perlu diperkukuhkan.

Selain itu, adalah dengan mengambil inisiatif penyelarasan dan penyeragaman secara berhikmah dan mematuhi jadual pembahagian kuasa antara kerajaan Pusat dan negeri di bawah Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan dengan meraikan perbezaan antara negeri-negeri dalam konteks program penyelarasan dan penyeragaman undang-undang. Seterusnya, menaik taraf jawatankuasa teknikal kepada sebuah suruhanjaya. Dalam hal ini, Majlis Raja-raja merupakan forum terbaik dalam menguruskan isu pindaan undang-undang.

Di samping itu dengan mewujudkan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Syariah bagi memperbaiki pengurusan kenaikan pangkat dan perkhidmatan pegawai syariah dan hakim syarie.

Kaedah-kaedah Memperkasa Keberkesanan Undang-undang Islam di Peringkat Negeri dan Persekutuan (Undang-undang Islam di peringkat Negeri kurang Berkesan)

Antara permasalahan yang dikenal pasti bagi MAIN/JAIN ialah kekurangan pendakwah. Dan ia dilemahkan lagi dengan kurangnya pegawai yang berkelayakan untuk memimpin bahagian dan jabatan-jabatan agama. Bahagian pendakwaan dan Penguatkuasaan di JAIN berhadapan dengan kekangan pentadbiran. Permasalahan yang timbul juga adalah disebabkan Undang-undang Islam tidak dikemas kini dan aduan lambat diproses atau tindakan lambat diambil.

Antara punca kepada perkara ini ialah kelemahan penguasaan bahasa dalam kalangan pendakwah dan pegawai agama di MAIN/JAIN dan kurangnya latihan dalam bidang pentadbiran Islam dan perbandingan agama. Antara pembetulan yang boleh dicadangkan adalah dengan menambah dan memberi latihan kepada pegawai-pegawai dakwah serta penguasaan bahasa selain bahasa ibunda oleh pegawai dakwah.

Selain itu adalah dengan menjadikan subjek perbandingan agama sebagai subjek utama kepada pegawai dakwah dalam kursus yang dilaksanakan. Juga mewujudkan mekanisme di antara pihak berkuasa agama dalam hal-ehwal Islam dan pihak berkuasa dalam hal-ehwal keselamatan negara. Seterusnya, ialah sokongan yang kuat dari segi aspek politik – kehendak politik (political will) bagi memperkasa pentadbiran hal ehwal Islam negeri.

Tiada kerjasama yang Sistematik antara Agensi-agensi Perundangan Islam

Agensi-agensi perundangan Islam dilihat sebagai berfungsi secara kurang berkesan. Permasalahan yang berlaku pada JBG antaranya, peguam JBG lambat menyelesaikan kes, ketiadaan atau kekurangan cawangan kecil JBG di daerah-daerah-daerah terpencil atau kawasan yang kepadatan penduduknya tinggi. Bantuan guaman pula tidak efektif sifatnya selain bidang kuasa JBG hanya terhad kepada isu-isu kekeluargaan. Selain itu, terdapat kalangan peguam yang kurang memberi kerjasama, atau panel peguam tidak memainkan peranan. Contohnya, panel peguam tidak menghadiri mahkamah dan tidak menemu bual pelanggan.

Di JKSM pula, tatatingkat (hierarki) rayuan Mahkamah Syariah tidak seimbang dengan prinsip rayuan kehakiman (one trial, two appeals). Selain itu timbulnya rungutan tempoh perbicaraan kes-kes penceraian yang mengambil masa terlalu lama (berdasarkan kajian yang dibuat dari tahun 2005 hingga 2010).

Terdapat juga masalah dalam pengendalian permohonan ceari di bawah Seksyen 47 apabila suami enggan melafazkan cerai. Dan, dalam perkhidmatan hakam, proses jawatankuasa pendamai (JP) kurang berkesan. Pengurusan penguatkuasaan perintah mahkamah juga tidak berkesan, khususnya perintah nafkah, selain, kekurangan hakim syarie terutama dalam kalangan wanita.

Ia ditambah dengan tiadanya pusat latihan atau modal insan untuk kakitangan kehakiman, kedaifan infrastruktur Mahkamah Syariah, ketidaksamaan taraf hakim-hakim syarie dengan hakim-hakim sivil (aspek tempoh perlantikan) dan tiada penyelarasan tindakan antara negeri.

Di pihak MAIN pula, peranannya yang terhad, ketiadaan atau kekurangan penasihat undang-undang dan ketiadaan badan pemantau/audit bebas. Ditambah juga dengan ketiadaan peruntukan undang-undang dan pegawai yang pakar dalam perundangan syariah, ditempatkan di MAIN/JAIN. Timbul juga persoalan terhadap status MKI iaitu, sebagai satu badan yang mentadbir undang-undang sama ada perlu diberi kuasa atau sebaliknya.

Di pihak PGSM pula, antara permasalahan yang berlaku ialah ketiadaan statut yang menyragamkan amalan guaman syarie negeri-negeri. Realiti hari ini ialah, permohonan untuk beramal sebagai peguam syarie berbeza-beza antara negeri. Sesetengah negeri mensyaratkan calon mensyaratkan calon memiliki Diploma Lanjutan Amalan Syariah sedangkan silibus yang diajar telah diambil semasa pengajian peringkat ijazah pertama. Ini merupakan pembaziran masa kepada calon.

Pemahaman bidang tugas/profesion peguam syarie juga kurang tepat dan tidak mengoptimumkan bidang tugas yang sepatutnya. Bidang-bidang seperti pentadbiran harta, penulisan wasiat, hibah dan perbankan Islam merupakan bidang-bidang yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada bidang tugas peguam syarie tetapi ia tidak diterokai apatah lagi dilaksanakan sebagai kerjaya peguam syarie.

PGSM juga tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan dengan profesion guaman syarie. Apa yang ada hanya Kaedah-kaedah Peguam Syarie dan ia tidak mengandungi perkara berkaitan dengan tatatertib dan disiplin peguam syarie. Ketiadaan Majlis Peguam Syarie untuk menjaga kepentingan serta mengawal selia amalan, profesionalisme dan etika para peguam syarie juga menjadikan PGSM hanya mempunyai kemampuan yang terhad.

Di Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan pula bahagian ini tidak efektif. Pegawai terlatih juga kurang di Bahagian Penguatkuasaan. Mereka juga terpaksa menggunakan atau menampung kemudahan pusat latihan lain dalam melatih pegawai-pegawai penguat kuasa agama. Contohnya, membuat latihan di Maktab Polis.

Disebabkan kekurangan dari aspek prasarana, pesalah jenayah syariah menumpang di lokap polis. Dan masalah juga untuk menempatkan pesalah jenayah syariah wanita seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri. Kelemahan seterusnya ialah tiada kuasa mereman pesalah diberikan kepada pegawai penguat kuasa agama selain tiada kepelbagaian dalam kes pendakwaan.

Beberapa situasi telah dikenal pasti sebagai punca kepada permasalahan ini. antaranya ialah, kekurangan prasarana, perjawatan bagi kaki tangan dan dana. Sesetengah negeri pula tidak berkemampuan untuk memperuntukkan jawatan-jawatan tinggi kepada pegawai agama. Contohnya, Mufti.

Selain itu ialah perasaan rendah diri dalam kalangan pegawai-pegawai agama Islam negeri berbanding pegawai-pegawai kerajaan yang lebih berpengalaman, bersikap professional dan efektif, kesan daripada perkhidmatan terbuka (open service). Ia diburukkan lagi dengan kekurangan latihan yang bersesuaian, tiada penyelarasan antara agensi Islam dan tiada penyelarasan tindakan antara negeri. Contoh, tindakan bersaling antara negeri.

Manakala pi pihak JKSM pula, antaranya ialah pengurusan pengendalian kes-kes penceraian tudak mempunyai sistem yang cekap dan berkesan, dan pemahaman berbeza dalam kalangan hakim berkaitan peruntukan Seksyen 47. Sementara di PGSM pula ialah, persatuan tidak mempunyai kemampuan yang kemas atau autoriti bagi menjaga kebajikan dan mengawal selia peguam syarie.

Di Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan pula, dari sudut pentadbiran ia diletakkan di bawah JAIN. Kedudukan ini memberi autoriti penuh kepada bahagian-bahagian tersebut. Seterusnya, kenaikan pangkat oleh kakitangan di bahagian-bahagian ini akan menyebabkan mereka berpindah ke bahagian atau jabatan kerajaan yang lain. Keadaan ini menyebabkan tugasan dibuat oleh kakitangan atau pegawai yang kurang berkenahiran dan terlatih. Secara tidak lansung, keadaan ini juga menyebabkan keadaan yang tidak ekonomik kepada pihak bahagian. Selanjutnya, tidak ada pusat latihan untuk pegawai penguat kuasa agama dan JAIN juga tiada kemudahan lokap untuk pesalah jenayah syariah.

Antara cadangan ialah, pemerkasaan dari sudut penambahbaikan prasarana, perjawatan dan dana. Juga, pendekatan wajar dari segi perhububungan dan komunikasi dengan pihak atasan, termasuk melibatkan pihak JPA, agensi Kewangan Negeri. Seterusnya ialah perubahan sikap dan transformasi personality hendaklah dilaksanakan bagi memenuhi kehendak pelanggan, menambah latihan yang bersesuaian dan mewujudkan medium atau agensi yang dapat berperanan sebagai perantara dan coordinator.

Untuk JBG pula, adalah amat baik sekiranya JBG Syariah dapat berdiri sendiri dan mempunyai autoriti sendiri. Seterusnya mencadangkan supaya dibuka cawangan-cawangan baharu dalam usaha untuk memperkasakan proses penyampaian perkhidmatan guaman bagi keperluan daerah dan kawasan terpencil. Selain itu menggesa supaya pihak JPA memberi perhatian wajar berkenaan penstrukturan semula JBG untuk mengimbangi bebanan tugas dengan nisbah bilangan pegawai.

Permasalahan yang berkaitan dengan kewangan boleh diselesaikan melalui bantuan guaman peguam panel JBG dan ia boleh dipanjangkan melalui MAIN/Baitulmal. Selain itu turut memperluaskan bidang kuasa JBG dengan memasukkan prosiding mengenai ganti rugi pertunangan, hutang perkahwinan, mutaah, alang semasa hidup (hibah), wasiat dan bidang muamalat Islam dalam Jadual Ketiga Akta 26.

Bagi memperkemaskan lagi keadaan yang ada, bayaran kepada panel peguam memerlukan kajian semula bagi meransang kerjasama panel peguam dengan mengambil kira kaedah yang diamalkan di Mahkamah Sivil, selain memperkasakan JBG sebagai hab latihan Pegawai Syariah yang berkemahiran tinggi. Dan mewujudkan unit khusus di peringkat pengurusan bagi memilih panel peguam dengan lebih teliti dan mengawal selia panel peguam.

Untuk pihak JKSM pula adalah dengan mewujudkan Mahkamah Rayuan Khas Syariah atau lain-lain tingkat yang sesuai sama ada di peringkat Pusat atau negeri. Selain itu dengan membuat sasaran semula dengan semua kes tertunggak tiga tahun ke belakang (2008-2010) akan diselesaikan secara sepenuhnya (100%) pada tahun 2011 dan dibuat pemantauan secara berkala oleh Ketua Hakim Syarie bagi negeri masing-masing.

Bagi kes penceraian di bawah peruntukan penceraian secara bersama, adalah dengan membuat pelantikan hakim sekiranya suami enggan melafazkan talak. Kajian semula terhadap seksyen berkenaan juga dilihat perlu untuk dilaksanakan. Untuk mengukuhkan lagi fungsi hakam, pemerkasaan dan galakan pelaksanaan hakam harus dilaksanakan secara komprehensif. Antaranya adalah dengan melantik panel hakam dari kumpulan yang terlatih di negeri-negeri.

Seterusnya, JKSM dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri (JKSN) mewujudkan jawatan hakam di setiap Mahkamah Syariah dengan matlamat penyelesaian masalah kekeluargaan yang mengambil masa daripada setahun kepada tiga bulan sahaja. Dan ia sekali gus disokong dengan pewartaan draf Kaedah Hakam Mahkamah Syariah dalam Arahan Amalan No. 1 Tahun 2006.

Seterusnya adalah dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di semua Mahkamah Syariah negeri. Mempergiatkan lagi usaha bagi menambah bilangan hakim syarie wanita yang layak dilantik hingga ke peringkat rayuan adalah sangat digalakkan. Persepsi masyarakat Islam di Malaysia juga akan bertambah positif terhadap Mahkamah Syariah dengan kewujudan atau kehadiran hakim wanita.

Selanjutnya adalah dengan menubuhkan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) untuk memberi latihan berterusan kepada para hakim dan pegawai-pegawai kehakiman. Juga dengan memaksimumkan kelebihan dan keupayaan yang dimiliki oleh hakim-hakim syarie yang senior dengan melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim-hakim mahkamah rayuan syarie sehingga ke umur 66 tahun sama seperti hakim-hakim sivil.

Seterusnya menggesa jawatankuasa untuk mempercepatkan proses penyamaan gaji hakim-hakim syarie dengan hakim-hakim sivil. Dan, menggesa kerajaan Pusat dan negeri untuk memberi dana bagi mempertingkatkan kemudahan infrastruktur Mahkamah Syariah seperti memperbaiki bangunan-bangunan sedia ada dan juga membina bangunan baharu mengikut keperluan di seluruh negara.

Di pihak MAIN adalah dengan meluaskan peranan MAIN sebagai badan pengurus harta umat Islam dengan mewujudkan pelbagai produk perkhidmatan dan memaksimumkan hasil baitulmal. Juga dengan melakukan penstrukturan semula ke atas organisasi MAIN dengan melantik penasihat undang-undang untuk menasihati MAIN mengenai aspek perundangan yang berkaitan. Dengan itu, menjadikan akta atau enakmen pentadbiran agama Islam negeri sebagai rujukan utama dalam mengurus dan mentadbir hal-ehwal pentadbiran agama Islam negeri.

Selanjutnya dengan mewujudkan satu badan bebas seperti Jawatankuasa Pemantauan Organisasi, Jawatankuasa Keutuhan atau Bahagian Audit Dalam di MAIN dan setiap organisasi di bawahnya sebagai penyelia (supervisor) atau pemantau supaya setiap tindakan selaras dengan kehendak hukum syarak dan undang-undang.

Turut dicadangkan adalah peranan MKI lebih dikukuhkan sebagai penggubal dasar dalam hal-ehwal Islam yang menyokong pembangunan hal-ehwal Islam perlu dipertingkatkan.

Bagi PGSM pula, penggubalan Akta Profesion Guaman Syarie perlu dilaksanakanbagi membuat pilihan, menerima masuk, mengawal selia dan memantau peguam syarie. Oleh yang demikian adalah dicadangkan supaya Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilaya-Wilaya Persekutuan) diluluskan segera dan dijadikan modal kepada negeri-negeri lain.

Bagi memperkukuhkan lagi organisasi ini, maka dicadangkan penubuhan Majlis Peguam Syarie bagi menggantikan persatuan yang ada, PGSM. Selanjutnya adalah dengan menggesa Kaedah-kaedah Peguam Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) supaya diluluskan segera dan dijadikan model yang standard kepada semua negeri lain.

Bagi Bahagian Penguatkuasaan Dan Pendakwaan pula adalah dicadangkan dengan melakukan penstrukturan semuala dengan mengasingkan Bahagian Penguatkuasaan dan Pendakwaan daripada JAIN. Juga menambah waran perjawatan dan infrastruktur.

Adalah amat wajar untuk memperuntukkan undang-undang bagi mengasingkan Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan seperti Jabatan Mufti. Selanjutnya, mewujudkan skim perjawatan tersendiri bagi pegawai di “Jabatan Penguatkuasaan”, menubuhkan pusat latihan khusus untuk pegawai penguat kuasa agama dan pegawai syarie. Serentak itu, pegawai penguat kuasa agama harus diberi kuasa untuk mereman.

Lokap berasingan juga harus dibina bagi memenuhi keperluan peoses jenayah syariah. Sehubungan dengan ini maka perlu membuat pindaan terhadap undang-undang termasuk Lock Up Rules dan Undang-undang Syariah.

Selain lokap, rumah-rumah perlindungan untuk pesalah-pesalah syariah juga perlu dibina. Seterusnya adalah dengan memperlbagaikan kes pendakwaan di Mahkamah Syariah. Contoh, kes-kes di bawah Enakmen Ugama BUKAN Islam (Kawalan dan Pengembangan Agama Di Kalangan Orang Islam).

Peningkatan ProfesionalismeModal Insan dalam bidang Perundangan (IPT).

Permasalahan bagi dapatan keenam ini antaranya ialah. Tidak semua agensi perundangan Islam dilibatkan dalam perancangan pengajian Syariah dan undang-undang di IPTA. Selain itu, kajian (tracer) juga tidak mendapat respons daripada agensi berkaitan.

Ketiadaan program-program baharu yang seharusnya diwujudkan telah menyebabkan profesionalisme berada di tahap statik dan tidak dapat dipertingkatkan.  Seterusnya, penambahbaikan program Syariah di IPTA tidak dapat dilaksanakan dengan mantap.

Permasalahan juga melibatkan graduan  yang telah menyelesaikan pengajian mereka tetapi tidak dapat memenuhi keperluan pasaran/industry di tahap tempatan apatah lagi di peringkat antarabangsa. Termasuk juga kekurangan program atau aktiviti yang dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang reality dunia perundangan Islam. Dan, tiada sokongan kerjaya yang mantap di IPTA. Seterusnya pelajar tidak dapat meningkatkan profesionalime mereka secara kreatif dan inovatif, kurang budaya dan penghasilan penyelidikan berkualiti dan pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi dalam kerja-kerja penyelidikan.

Antara punca ialah penglibatan agensi berdasarkan keperluan IPT. Ini menyebabkan penglibatan agensi menjadi terhad. Juga disebabkan ketiadaan Majlis Dekan-dekan Syariah yang antara fungsinya adalah untuk menambak baik program Syariah di IPTA. Selain itu, program yang diajar di IPTA tidak selaras dengan keperluan industry semasa, sama ada di peringkat tempatan ataupun antarabangsa. Seterusnya kerjasama yang tidak tersusun atau masih di tahap minimum antara IPTA dengan pemain industri dan prasarana tidak menepati piawaian semasa.

Geran penyelidikan yang disediakan oleh pihak kementerian dalam bidang ini yang agak terhad juga menjadi antara punca bagi permasalahan yang tersebut selain hasil penyelidikan tidak diterbitkan dan tidak diketahui oleh pembuat dasar.

Apa yang berlaku juga, penekanan diberikan kepada pensyarah melalui sistem kenaikan pangkat di IPT untuk membentangkan hasil kajian ke persada antarabangsa. Dan yang terakhir setakat ini ialah, ketiadaan mekanisme kerjasama di antara pihak industry dan IPTA dalam kerja-kerja penyelidikan.

Pembetulan yang boleh dicadangkan pertamanya adalah dengan menyenaraikan agensi-agensi yang perlu dilibatkan bersama. Dan kemudiannya mewujudkan jawatankuasa khusus untuk melihat program-program baharu dan mengkaji semula program yang telah diwujudkan di IPT. Termasuklah penambahbaikan terhadap kajian (tracer).

Seterusnya adalah dengan melakukan transformasi program supaya ia lebih releven. Standard Program Undang-undang dan Syariah MQA perlu dimurnikan (dokumen berkenaan sebenarnya telah dibincangkan pada tahun 2007).

Dan menubuhkan Majlis Dekan Syariah juga adalah antara cadangan yang amat wajar untuk dipertimbangkan dan diterima. Selain pegawai dari agensi-agensi berkaitan terlibat secara berterusan. Sebagaimana cadangan sebelum ini dengan pewujudan Majlis Peguam Syarie bagi kebaikan peguam-peguam syarie di Malaysia, majlis yang perlu diwujudkan ini juga antara fungsinya adalah untuk memastikan calon yang diterima sebagai peguam syarii mempunyai kualiti minimum yang ditetapkan.

Untuk memperkukuhkan lagi keadaan adalah dengan mewujudkan Majlis Kelayakan Syariah (Shariah Qualifying Board Malaysia). Dan harus ada kerjasama antara MQA dengan MSB (Malaysian Shariah Board). Seterusnya adalah dengan melibatkan agensi-agensi Islam dalam perancangan pendidikan tinggi IPTA khususnya dalam bidang Syariah dan undang-undang bagi memenuhi keperluan semasa tempatan dan antarabangsa.

Selain itu mewujud dan menyemarakkan jalinan kerjasama dan kemas di antara dunia akademik dan pihak industri. Antara pendekatan yang boleh diketengahkan adalah dengan meminjamkan pensyarah-pensyarah IPTA ke agensi dan sebaliknya (pegawai-pegawai agensi dipinjamkan ke IPTA). Dalam hal ini, perlu ada sistem yang kemas dengan mengambil kira kekananan tenaga akademik apabila dipinjamkan dan sebaliknya.

Mencadangkan juga supaya proses pertukaran diperluaskan pelaksanaannya; a.

Sokongan kerjaya yang dipasarkan oleh IPTA. Iaitu, agensi dibenarkan untukmengenal pasti graduan yang terbaik sebagai sokongan kerjaya yang dipasarkan oleh IPTA, b. Mengiktiraf jurusan syariah sebagai jurusan professional di JPA, c. Melaksanakan amalan profesionalime dalam pengajaran dan pembelajaran di IPT, d. IPTA mewujudkan satu sistem sokongan yang dapat membantu dalam pemasaran para graduan, dan e. Penyelarasan menyenai pewujudan elaun kritikal kepada hakim syarie atau pegawai syariah.

Seterusnya mencadangkan dari sudut penyediaan prasarana yang memenuhi piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Iaitu dengan, a. Menggesa pewujudan budaya dan penghasilan penyelidikan bermutu tinggi serta selari dengan keperluan semasa sama ada oleh pensyarah atau pelajar sarjana atau kedoktoran dan diselia oleh pensyarah berpengalaman, b. Mewujudkan geran penyelidikan khusus untuk penyelidikan perundangan dan kehakiman Syariah dengan kerjasama agensi-agensi luar negara, c. Hasil penyelidikan hendaklah diterbitkan oleh jurnal tempatan/antarabangsa dan e. Menggalakkan pihak industry turut menjadi penyelia kedua kepada pelajar pasca siswazah.

Dan akhir sekali adalah dengan mewujud dan meningkatka mekanisme yang berkesan dengan melibatkan pelaburan sector-sektor swasta dalam kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan oleh IPTA (seperti penubuhan pusat-pusat penyelidikan tajaan syarikat-syarikat tertentu).

Peningkatan Profesionalisme Modal Insan melalui Pendidikan Berkesan

Kualiti pengamal perundangan Syariah berada di tahap static adalah sebahagian daripada permasalahan yang berlaku bagi isu ini. selainnya ialah, produktiviti kerja atau perkhidmatan pengamal perundangan Syariah termasuk peguam syarie yang tidak mantap kerana amat kurang merujuk kitab-kitab atau rujukan-rujukan yang muktabar atau berwibawa dalam bahasa Arab dan juga bahasa Inggeris.

Antara punca yang dapat dikenal pasti adalah ketadaan atau kekurangan latihan untuk meningkatkan kecekapan modal insane secara berterusan termasuk latihan perundangan Syariah dan peguam syarie kurang menguasai bahasa inggeris dan Arab.

Pembetulan yang dapat dicadangkan bagi perkara ini adalah dengan pewujudan Akademi Latihan Perundangan dan Kehakiman (ILKAS), menjalani kursus bahasa dalam tempoh latihan dan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa dan melaksanakan pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris  secara berterusan di IPT secara lebih berkualiti.

Kesimpulan

Jelas bahawa usaha untuk mebtransformasi sistem perundangan Islam perlukan kehendak politik (political will). Pendekatan wasatiyyah bermakna memberi nafas pemerkasaan kepada sistem perundangan Islam sedia ada melalui perancangan yang sistematik yang melibatkan semua pihak yang berkaitan (stakeholders).

2 comments

  1. Deborah says:

    Saya tak bermaksud nak kondem sesaper… tapi post nie memang menarik dan kalau
    terkena tepi kain yg lain tu… anggaplah satu terguran ikhlas
    dari penulis..

    My blog post Zalora Kupon

  2. Gilbert says:

    Kawan saya rekemen blog nie … katanya artikel walaupun agak simple..

    tapi penuh dengan info.. tahniah..

    Have a look at my web blog :: Jubah Fesyen

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>