«

»

Mar
25

Wasatiyyah Mampu Kembalikan Sinar Peradaban Islam

Pandangan masyarakat barat terhadap Islam seringkali dipengaruhi dengan imej buruk atas alasan bahawa penganutnya sering terlibat dengan pelbagai kesalahan moral, ekstremisme dan tidak bertoleransi.
Hal ini berlaku bukan kerana tidak memahami Islam tetapi atas rasa cemburu yang kuat terhadap perkembangan penganutnya yang begitu cepat berkembang manakala para pemikir yang lain telah menjadikannya sebagai suatu ancaman kepada penyemarakan sistem kapitalisme dan hedonism.

Islam telah digambarkan secara melulu sehingga setiap simbolnya dilihat sebagai punca kelahiran perlakuan ektremisme yang tidak boleh bertoleransi dengan agama lain. Hal ini digambarkan kerana kaedah penghayatan Islam tidaklah sama dengan lain-lain agama termasuk Kristian, Buddha ataupun Hindu.
Islam meletakkan asas tunggal bahawa “tiada Tuhan yang lain selain Allah” dan hubungan setiap penganutnya adalah secara terus bukan melalui perantaraan sebagaimana agama-agama lain yang melibatkan pihak ketiga. Tradisi Islam juga tidak mempunyai unsur-unsur kerahiban sebagaimana dilakukan oleh paderi dalam agama Kristian, sami dalam agama Hindu dan Buddha.

Meskipun Islam mempunyai tradisi kealiman, ianya tertakluk kepada kedudukannya sebagai ahli ilmu dan bukannya mempunyai kuasa sakral. Para imam atau ulamak dalam tradisi Islam ialah sebagai rujukan dalam setiap perkara yang melibatkan hal-hal yang bersifat muamalat manakala hal ehwal peribadatan terletak dalam amalan setiap orang secara individu.

Sewaktu gelora masyarakat dunia yang dikacaukan dengan kepercayaan bahawa Islam adalah musuh kepada peradaban barat, usaha untuk menghidup kembali rangka pendekatan secara politis dalam nilai-nilai Islam telah menemukan contoh daripada struktur masyarakat ketika period Madinah, di mana perbezaan pegangan agama, keyakinan tradisi dan amalan budaya telah dapat disatukan menerusi keyakinannya kepada Islam.

Penganut agama lain boleh hidup dan meneruskan tradisi mereka selagi menghormati Islam sebagai kerangka pemerintahan. Hubungan kerjasama itulah memperlihatkan satu model masyarakat madani (civil society) yang lebih berkesan daripada makna yang dipakai dalam tradisi pemikiran barat.

Berdasarkan struktur masyarakat Madinah semasa zaman Rasullullah SAW, penerapan prinsip kesederhanaan telah melatakkan dakwah Islam  begitu cepat berkembang sehingga akhirnya membawa kepada penyebaran ke seluruh Semenanjung Arab dan kemudiannya berkembang di luar konteks awalnya, ke seantero dunia.

Nilai-nilai kesederhanaan dan toleransi itu dikenali sebagai wasatiyyah. Wasatiyyah adalah salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan Islam dan ia telah dibuktikan sebagai satu tanda kebaikan yang ada pada agama itu sendiri.
Secara istilahnya, wasatiyyah boleh dirujuk sebagai pertengahan, sederhana dan tidak melampau. Sebagai agama wahyu, Islam telah meletakkan “tiada paksaan dalam memilih agama” bagi bukan Islam dan ini menggambarkan secara asasnya penangut agama lain bebas melaksanakan kepercayaannya dengan syarat tidak berusaha mempengaruhi umat Islam agar meninggalkan agamanya.

Penyebaran agama lain ke dalam masyarakat Islam dalam sesetengah negara ia adalah satu kesalahan kerana orang Islam yang keluar daripada pegangan asalnya dinamakan sebagai golongan yang murtad. Mereka yang murtad ini membawa makna sudah menjauhkan diri dengan keyakinan bahawa Allah SWT adalah “tuhan yang tunggal” dan telah menentukan keseluruhan nasib manusia menerusi doktrin “Dialah Sang Pencipta.”

Menurut al-Qardhawi, manhaj wasatiyyah yang ada pada Islam merupakan kaedah terbaik, baik dari prinsip amalan (menyeru manusia agar menyeimbangkan antara kehidupan di dunia dan kehidupan selepas kematian, kerana setiap apa yang dilakukan oleh manusia akan mempengaruhi kedudukannya di alam kematian) dan berlaku adil kepada semua orang menerusi prinsip kesamaan taraf di sisi Allah SWT kecualilah atas amal ibadatnya, yakni takwa.

Sifat ini telah menjadikan Islam bukan hanya sekadar pegangan agama, ia merangkumi corak hidup yang amat sempurna dan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa. Malah, dalam banyak keadaan prinsip dan pendekatan Islam telah melangkaui pengetahuan manusia dalam kehebatan pengetahuannya, meskipun pada pandangan masyarakat barat, manusia sendirilah yang akan menentukan pola peradabannya sendiri.

Pola peradaban Islam meletakkan proses mencari keredhaan Allah SWT adalah yang tertinggi manakala usaha manusia hanyalah sekadar merancang. Kejayaan atau kegagalan akan disusuli dengan restu Allah SWT, maka dalam keadaan itulah penganut Islam menjadi pola hidup yang tenang dan penuh kesyukuran.

Perubahan yang berlaku dalam pemikiran umat Islam pada masakini ialah kerana adanya pertembungan dengan nilai-nilai barat yang meletakkan asas materialism sebagai titik akhir tujuan kehidupan mereka.

Nilai ketamadun barat meletakkan persoalan spekulasi dan dominasi sebagai punca kepada pemilikan sesuatu bidang sehingga menjadikan manusia hanyalah sebagai komoditi seperti mesin, modal dan kaedah pengeluaran. Mazhab ekonomi yang dibentuk sama ada oleh pemikir kapitalis ataupun sosialisme tetap mengarahkan manusia sebagai komoditi berbanding Islam, manusia merupakan kedudukan yang amat tinggi berbanding modal, teknologi dan kaedah pengeluaran.

Manusia mencipta alat-alat dan kaedah pengeluaran manakala sumber pengeluaran adalah hak milik Allah SWT. Maka dalam konteks itulah Islam menekankan bahawa apa yang dikuasai oleh manusia adalah “amanah” dan “hanya untuk sementara waktu sahaja” kerana bila sampai waktunya, hak milik itu akan dihentikan ataupun ditarik balik menerusi pelbagai percubaan seperti diturunkan bencana, dilenyapkan daripada pemilikan dan seterusnya, bagi manusia yang yakin dengan kedudukan Allah SWT sebagai “pemberi rezeki”, mereka akan melakukan olahan sumber itu secara lebih beradab, tidak merosakkan alam sekitar.

Manusia dinobatkan sebagai memilik sifat-sifat wasatiyyah berdasarkan firman Allah SWT, yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. (al-Baqarah: 143)

Tujuan Islam diturunkan menerusi perantaraan nabi-nabi dan kemudiannya disempurnakan secara tegas oleh Nabi Muhammad SAW untuk mengatur kehidupan manusia agar mencapai hasanah di dunia dan di akhirat. Nabi Muhammad SAW diberikan sebagai tugas yang besar oleh Allah SWT untuk memperlihatkan nilai akhlak yang terpuji dan menyelamatkan manusia daripada keterpesongan akidah.

Permulaan Islam sebenarnya sudah bermula sejak manusia diciptakan menerusi Adam a.s. dan kemudiannya berkembang biak menerusi kehidupan bersama sebagai pasangan yang sah dengan Hawa. Allah menciptakan Adam a.s. sebagai lelaki manakala kemudiannya menjadikan Hawa sebagai pasangan dalam kehidupan berkeluarga sehingga berkembang biak menjadi kumpulan manusia yang kemudiannya mengembara ke seantero dunia untuk memulakan kehidupan masing-masing.

Berasal dari keturunan Adam dan Hawa itulah Allah telah mempengaruhi manusia menjadi berbeza berdasarkan pola hidup yang ditempohi oleh keturunan selanjutnya dan persekitaran yang membudayakannya. Ini merupakan titik tolak perbezaan pada asasnya sehingga, Allah SWT mencabar manusia agar “saling kenal mengenali” untuk hidup secara aman dan tenteram.
Nilai itu kemudiannya berkembang dalam tradisi agama yang wahyu melalui perantaraan nabi-nabi yang diutuskan sesuai dengan keperluan zaman. Disebabkan oleh sikap budaya masyarakat pada zaman Nabi Luth a.s. yang cenderung mempersendakan hakikat manusia diciptakan sebagai lelaki dan wanita, Allah SWT memberikan gambaran budaya tersebut adalah suatu malapetaka dan dilaknat.

Tradisi itu telah menyebabkan manusia yang mencipta budaya tinggi berasaskan ukuran zamannya telah hancur dan peninggalannya menggambarkan betapa manusia semakin kehilangan arah dan pertimbangan moral. Masyarakat yang terus hidup dan tidak mahu meninggalkan pola kehidupan secara beradab akhirnya dilenyapkan.

Dari sudut ekonomi, Islam yang meletakkan nilai kesejagatan adab dan etika sebenarnya berusaha untuk mengekang amalan tamak dan haloba. Setiap urusan yang berlaku, transaksi yang dibuat mestilah berdasarkan keseimbangan dan penerimaan antara kedua belah pihak.

Satu pihak tidak boleh melakukan transaksi yang berat sebelah, seperi menipu dalam ukuran, mengenakan faedah dan seterusnya meletakkan nilai harga berdasarkan keuntungan melampau pembekal. Ia juga mestilah jauh daripada nilai-nilai spekulasi dan monopoli kerana setiap barangan itu sebenarnya berasaskan sumber yang dianugerah oleh Allah SWT.

Kekayaan hanyalah berbentuk sementara dan ia adalah satu amanah yang bukan sahaja perlu dijaga bahkan digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Konsep limpahan rezeki dan tertutupnya pintu rezeki mempunyai hubungkait yang sakral dengan prinsip amanah. Kerana itu, tabiat monopoli, dominasi dan spekulasi dilihat sebagai tindakan buruk dan terkeji.
Untuk memahami maksud wasatiyyah dari perspektif ekonomi, kita seharusnya dapat melihat bagaimana bentuk dan gaya Rasullullah SAW semasa melakukan transaksi perniagaan. Baginda memperlihatkan kejujurannya sehingga rezeki perniagaan menjadi semakin maju, sehingga membangkitkan tahap kepercayaan yang besar oleh Khadijah, seorang janda hartawan dan kemudiannya berkahwin dengan Rasullullah SAW.

Sifat kesederhanaan Rasullullah SAW dirakamkan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam).… (al-Fath-29) .

Dalam memperlihatkan sikap tegas terhadap orang-orang kafir dan berlemah-lembut sesama insan, Rasullullah SAW sentiasa menghormati hak dan tanggungjawab kepada semua orang yang bernaung di bawah panji Islam. Sebagai ketua negara, Rasullullah SAW menjadi orang yang pertama merasakan lapar ketika umat menderita dan yang terakhir merasakan kekenyangan.

Pernah suatu ketika Rasullullah SAW mengikat badannya dengan batu-batu sehingga saat bersembahyang terdengar seperti sesuatu yang keras berlanggar sesama sendiri. Apabila mendengarkan keadaan itu, para sahabat merasakan ada sesuatu yang ganjil berlaku dan bertanya kepada baginda apakah sedang mengerang kesakitan?
Dengan tenang Rasullullah SAW memberikan jawapan bahawa bunyi yang kedengaran itulah menandakan isyarat ada kelaparan yang berlaku. Para sahabat terus membuat pertanyaan apakah Rasullullah SAW sedang menderita kelaparan, jika itulah yang dihadapi, mereka sanggup memberikan apa sahaja atas sifat kasih sayang. Mereka tidak mahu kehilangan baginda kerana berada dalam kelaparan.

Strategi itu akhirnya berjaya dirungkaikan bahawa Rasullullah SAW sebenarnya sedang merasakan betapa peritnya hidup dalam kelaparan. Mendengarkan kaedah itu, maka para sahabat tidak berlengah lagi untuk mendermakan apa yang mereka milik demi menjamin bahawa ada manusia tidak berhadapan dengan pedihnya lapar.

Dari perspektif itulah maka sabda Rasullullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin itu dalam perkara berkasih sayang dan saling cinta-menyintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya berasa sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasai akan kesakitannya. (Muntafaq ‘Alaih) Itulah keluhuran budi dan kebijaksanaan moral yang ditunjukkan oleh baginda dalam membuktikan kasih sayang sesama insane, tidak seperti peradaban barat yang membantu negara-negara miskin dengan tujuan menguasai dan menjadikan negara tersebut terbelenggu dalam beban hutang.

Menurut Aisyah,  ”Rasulullah SAW tidak pernah kenyang sepanjang tiga hari berturut-turut. Kalau seandainya kami mahu, pasti kami kenyang, akan tetapi beliau selalu mengutamakan orang lain daripada dirinya (sendiri). (riwayat Baihaqi).” Manakala Abu Hurairah berkata: Rasulullah keluar dari dunia (wafat) dan beliau belum pernah kenyang dari roti gandum. (riwayat Bukhari dan Tirmidzi)
Baginda juga amat sederhana sekali dalam kehidupannya dan pernah menolak untuk menggunakan alas tidur yang enak (comfortable) dan berbantalkan kulit kayu. Setiap kali melelapkan mata, baginda hanya tidur atas tikar sehingga membekas di lambungnya. Ketika wafat, baginda wafat memakai pakaian yang sudah lusuh, ditampal di beberapa tempat dan sarung yang kasar.

Hal ini amat berlainan dengan peradaban moden sehingga menampakkan seseorang pemimpin bukan sahaja menggunakan pakaian yang mahal dan berjenama, bahkan tidak  boleh melelapkan mata sepanjang malam jika tidur di atas tikar dan hawa yang panas. Setiap kali menginap, akan menjadi tidak selesa jika bilik penginapan tidak berhawa dingin dan mempunyai tilam yang empuk sehingga sanggup menghabiskan ribuan ringgit semalaman bagi mendapatkan bilik yang selesa dan mewah.

Bagi sahabat-sahabat baginda, seperti  Abu Bakar, Umar dan Ali amat sederhana sekali sikap mereka. Mengenai hal tersebut, Umar pernah berkata: “Saya dengan harta ini tidak lain kecuali seperti wali anak yatim. Jika saya sudah cukup, maka saya berhati-hati, tetapi jika saya memerlukannya maka saya memakannya dengan makruf (baik).”

Amalan yang dipraktiskan oleh Rasullullah SAW inilah dinilai sebagai asas-asas wasatiyyah dalam pendekatan ekonomi Islam. Ia bukan sahaja sederhana bahkan seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi. Dalam kacamata ekonomi Islam, ia bermakna walaupun Islam boleh bertolerasi dalam banyak perkara, dalam perkara-perkara yang bersifat kemungkaran, hukumnya amat keras. Keadaan itu tidak berlaku dalam peradaban barat kerana mereka yang bersalah dalam moral ekonomi, hanya dijarakkan dengan denda, yang dengan senang boleh dibayar oleh kaum kapitalis.

Perkara sedemikian telah berlaku dalam masyarakat Malaysia apabila ada di anata rakyat tidak segan silu melanggar pelbagai larangan, kerana bagi mereka kesalahan tersebut dapat dihapuskan apabila terdapat kesilapan teknikal, sedangkan secara terancangnya ia terjadi. Maka, mereka yang mempunyai wang yang banyak, mereka boleh mengubah para peguam yang ramai untuk menimbulkan kekeliruan sehingga pembuktian sesuatu kes menampakkan ada kelemahan bukti.

Bila situasi ini terjadi, maka secara langsungnya mereka yang terdakwa boleh “membersihkan diri” atas kelemahan tersebut, dan bukan mendatangkan keinsafan terhadap sebarang tindakan yang bertentangan itu. Kemudiannya, kemenangan setelah “kes tersebut” atas kelemahan teknikal, akan digunakan dengan berkesan sebagai strategi penafian dan membersihkan diri.

Dalam mewajahkan kesederhanaan dalam bidang ekonomi, dasar utamanya ialah bersandarkan Al-Quran dan al-sunah, tidak menghalalkan yang haram dan tidak mengharamkan yang halal. Inilah yang membezakan antara perspektif Islam dan kapitalisme barat di mana atas kepentingan monopoli dan spekulasi, usahawan mereka sanggup menghalalkan yang haram termasuk mengenakan faedah yang tinggi apabila memberikan pinjaman atau mengharapkan keuntungan ketika membantu orang-orang yang susah. Adakalanya, mereka enggan membantu masyarakat yang susah kerana menilai bahawa akan berhadapan dengan kesukaran membayar balik pinjaman.

Mengumpul harta secara batil adalah dilarang keras oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah ( tipu, judi dan sebagainya ), kecuali dengan (jalan) perniagaan yang di lakukan secara suka sama suka di antara kamu. (al-Nisa’: 29)
Tugas dan tanggungjawab seseorang pemimpin dalam kesedaran kekhalifahannya (manusia adalah khalifah Allah di bumi) turut termasuk dalam lingkungan makna wasatiyyah. Sebagai seorang khalifah, tanggungjawab membangun dan menguruskan dunia ini dengan acuan yang ditetapkan oleh Allah SWT bukannya hanya sekadar berjanji akan melaksanakan sesuatu ketika sedang berusaha mendapat kuasa, tetapi setelah kuasa tersebut dimiliki, harapan rakyat kebanyakan dan janji yang dibuat telah menimbulkan kekecewaan yang besar.

Bila berhadapan dengan desakan dan tuntutan daripada rakyat, maka pelbagai alasan diberikan. Apabila sekali lagi tiba musim berkempen untuk mendapat semula kuasa, maka janji yang lebih besar dibuat walaupun janji lama masih belum ditunaikan. Ini adalah satu sikap yang mempersendakan rakyat dan amat dibenci oleh Allah SWT.
Dengan menyedari bahawa seluruh yang ada di alam semesta ini seperti langit dengan segala isinya, sumber alam yang melimpahi di atas dan di dalam perut bumi, sebagai limpahan rezeki untuk dinikmati oleh semua umat manusia, dan bukannya menjadi monopoli segelintir orang sahaja. Selaku khalifah, manusia hanya diberikan amanah untuk menguruskannya manakala hak milik mutlak adalah Allah SWT.

Mengenai hal ini Allah SWT berfirman: “Allah jua lah yang menguasai alam langit dan bumi dan segala yang ada padanya;dan Dialah jua yang amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. (al-Maaidah: 120)
Konsep wasatiyyah turut mengandungi konsep persaudaraan. Umat Islam itu bersaudara bukan bermusuhan. Jika konsep persaudaraan mampu di wujudkan, maka ekonomi umat Islam tidak akan dikuasai oleh orang kafir. Akan tetapi realitinya tidak demikian. Sesama Islam saling berkonflik sehingga menjadikan bukan Islam lebih menguasai dan menjadi peneraju dalam pemilikan ekuiti dan kekayaan negara walaupun secara jelasnya, yang memerintah dan berkuasa itu adalah orang Islam.
Budaya umat Islam terus terumbang-ambing dan rapuh. Setiap gerak-geri umat Islam akan disyaki , pemilikan sedikit sebanyak kekayaan dibimbangi dengan tuduhan dan sindiran yang menggambarkan sakit hati, dengki, menghasut, memfitnah menjadi amalan untuk melemahkan sesama Islam. Itulah  budaya politik yang menghancurkan Islam itu sendiri dan ianya merupakan kejayaan besar bukan Islam untuk menggunakan orang Islam sendiri bagi menghancurkan orang Islam.

Mengenai perkara ini, Allah SWT menggambarkan mereka seperti seorang perempuan yang menguraikan benang yang sudah diikat dengan kuat lalu menjadi cerai-berai kembali. Dalam proses penguraian itu, tentunya akan mengakibatkan ada benang yang putus dan terpaksa dilepaskan.

Allah SWT menggambarkan keadaan ini sebagai : “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh, dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya ( untuk mencabuli perjanjian yang telah di meteraikan ) sesama kamu, di sebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu, dan ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (an-Nahl: 92)
Kejayaan hakiki umat Islam telah diberikan jaminan oleh Allah SWT. Islam akan bangkit dengan kekuatan yang besar apabila seluruh penganutnya bersatu dalam satu matlamat, boleh bekerjasama dengan berkesan untuk berhadapan dengan pelbagai gelombang budaya yang dibawa masuk secara langsung ataupun tidak langsung. Maka, atas kekuatan penyatuan sumber dan kekuatan intelektual itulah pendekatan wasatiyyah diharap bakal memberikan semula cahaya peradaban Islam yang telah pudar.

Cahaya kebangkitan itulah yang akan menjelma sebuah peradaban baharu yang lebih besar maknanya untuk mengambil alih peradaban barat yang sedang mengalami saat-saat kehancuran kerana sentiasa bergerak dalam situasi permusuhan, tamak haloba dan bersifat spekulasi keuntungan besar. Generasi awal Islam sudah membuktikannya, maka dalam keadaan itulah Imam Malik pernah menawarkan cara terbaik untuk membina semula peradaban yang sudah dihancurkan.

Untuk meningkat maju dan berdaya saing,  ramuan kejayaan generasi awal Islam perlu dihidupkan semula. Ini bermakna, generasi yang mewarisi Islam pada masa ini perlulah mengambil teladan cara generasi awal membina kejayaan sehingga Islam mampu memainkan peranan yang besar dalam peradaban manusia hampir satu millennium lamanya.

Telitilah secara terperinci bagaimana pengorbanan mereka dan ketekalan matlamat untuk membawa Islam menjadi sebuah agama besar dan paling cepat berkembang. Ia ada kaitan yang erat dengan pendekatan wasatiyyah, sebuah pendekatan yang sederhana dan mampu dijayakan oleh semua orang berdasarkan keupayaan dan kebundaran falsafah, bukannya atas kehendak dominasi dan spekulasi.
Monosin Sobri.

1 comment

  1. Kitty says:

    Rasa pening tgk kekacauan dunia kat fb ngan blog2 sekarang…
    mujur jumpa blog nie.. dapat berehat seketika ngan artikel yg ringan…

    terima kasih…

    Also visit my blog: Jubah Fesyen

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>