«

»

Jan
03

Malaysia Sebagai Model Wasatiyyah

Malaysia sering dijadikan contoh oleh negara lain di dunia sebagai sebuah negara Islam moden dan sederhana. Perdana menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dalam satu ucapannya, menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memuji Malaysia atas keunikan dan keunggulan yang dimiliki oleh Malaysia. Pujian Barack Obama tersebut disampaikan kepada perdana menteri melalui satu perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin tersebut. Menurut Presiden Amerika Syarikat, dalam perbualan tersebut, pemimpin dan rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana Malaysia sebuah negara moden, progresif dan mampu hidup dengan teratur biarpun mempunyai latar belakang masyarakat yang multietnik dan agama.

Sehubungan dengan itu, dalam Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu di New York, pada September 2010, perdana menteri telah mencadangkan kepada masyarakat dunia supaya mencontohi kesederhanaan masyarakat Malaysia. Cadangan tersebut berasas kerana sikap kesederhanaan masyarakat Malaysia yang membolehkan Malaysia menduduki tempat ke-19, iaitu negara paling aman dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2011. Daripada 150 buah negara yang dibuat kaji selidik, kedudukan Malaysia naik tiga anak tangga berbanding dengan kedudukan pada tahun sebelumnya.

Keputusan indeks tersebut dikeluarkan oleh Institusi Ekonomi dan Keamanan Sedunia yang berpangkalan di Sydney, Australia. Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketika mengulas hasil kaji selidik tersebut, Malaysia dapat mencapai kedudukan sedemikian kerana hasil daripada sikap kesederhanaan rakyat Malaysia yang berpandukan konsep wasatiyah bagi penganut Islam dan konsep kesederhanaan dalam pelbagai penganut agama lain.

Tawaran perdana menteri supaya menjadikan Malaysia sebagai contoh sebuah negara yang mengamalkan konsep wasatiyah amat bertepatan dengan perkembangan krisis global pada masa kini. Hal ini dikatakan demikian kerana dunia terus bergolak dengan pelbagai krisis terutamanya tentang Islamofobia. Islamofobia merujuk ketakutan dalam kalangan orang bukan Islam terhadap orang Islam atau budaya Islam dengan anggapan bahawa Islam cenderung kepada keganasan, fanatik agama dan menolak konsep kesamaan, toleransi dan demokrasi.

Fenomena Islamofobia ini dilaporkan berlaku dengan meluas di negara Eropah dan Amerika Syarikat. Manakala, konsep wasatiyah pula merujuk kesederhanaan dengan perlakuan tidak melampau, terlalu mendesak atau menekan dan tegar dengan pendirian peribadi. Berdasarkan konsep tersebut, secara jelasnya wasatiyah menolak sikap melampau tetapi bukan dalam konteks penerokaan ilmu, mencari rezeki dan beribadat.

Menurut perdana menteri lagi, konsep kesederhanaan membolehkan Malaysia membangunkan masa depan yang lebih tenteram, aman dan adil. Bagi tujuan melaksanakan konsep wasatiyah itu, kerajaan Malaysia telah melancarkan gagasan 1Malaysia sebagai acuan penyatuan antara kaum tanpa melihat perbezaan etnik, agama dan kepercayaan sebagai punca permusuhan dan konflik.

Melalui usaha mempromosikan konsep wasatiyah, diharapkan dapat melenturkan sikap fanatik dalam beragama dan bermasyarakat dalam kalangan rakyat Malaysia. Mengukuhkan lagi usaha Malaysia mempromosikan konsep wasatiyah ke peringkat global, perdana menteri mencadangkan penubuhan sebuah yayasan yang dikenali sebagai “The Global Movement of the Moderates” (GMM). Yayasan yang berperanan mempromosikan kefahaman mengenai kesederhanaan itu akan dilancarkan semasa persidangan antarabangsa pertama GMM yang dianjurkan oleh Alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada bulan Januari 2012.

Sebagaimana negara bekas tanah jajahan kolonial, seperti India, Pakistan, Afrika Selatan dan negara Afrika lain, Malaysia tidak terkecuali mengalami pelbagai konflik akibat perbezaan kelas sosial dan agama. Dasar Aparteid di Afrika Selatan sebagai contoh, telah mengasingkan kehidupan antara mereka yang berkulit hitam dan putih. Akibat daripada dasar tersebut, perasaan syak wasangka masih menebal dalam kalangan penduduk negara itu, biarpun dasar tersebut telah lama dihapuskan oleh rejim pemerintah. Hal yang sama turut berlaku di India apabila perbezaan agama dan kasta secara keterlaluan akibat dasar kolonial menjadikan India bagaikan sebiji bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja.

Di Malaysia, dasar kolonial bukan sahaja meninggalkan kesan dari segi fizikal tetapi turut meracuni pemikiran dan ideologi yang menjadi sumber kepada pelbagai konflik dalam masyarakat. Pengenalan empat aliran persekolahan di Tanah Melayu oleh kerajaan kolonial bertujuan untuk memecahkan perpaduan antara kaum. Para mubaligh yang dibawa masuk oleh kerajaan kolonial telah membuka sekolah dengan tujuan untuk mengembangkan agama mereka.

Biarpun sekolah ini dibuka kepada semua kaum, tetapi jumlah penyertaan orang Melayu terutamanya, sangat sedikit kerana kadar yuran persekolahan yang dikenakan adalah mahal. Oleh itu, orang Melayu kekal dengan sekolah aliran Melayu, orang Cina dengan aliran Cina serta orang India dengan aliran Tamil. Akibat daripada pemisahan aliran pendidikan ini menyebabkan ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu mempunyai ketaasuban kepada kepentingan kaum dan etnik masing-masing.

Menyedari wujudnya ketaasuban menebal dalam kalangan ketiga-tiga kaum terbesar di Tanah Melayu, kerajaan Malaysia sejak merdeka telah berusaha sedaya upaya untuk mengecilkan jurang perbezaan antara ketiga-tiga kaum tersebut. Bermula daripada lapangan ekonomi, sosial hinggalah kepada politik, kerajaan menerusi agensi di bawah kementerian tertentu telah memperkenalkan pelbagai dasar dan program. Antara dasar ekonomi terkenal, ialah Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan 2020. Manakala dari segi sosial pula, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Perpaduan Negara khususnya untuk memberikan perhatian kepada soal perpaduan negara.

Dari segi politik pula, pada tahun 1974, kerajaan telah menubuhkan sebuah parti komponen, iaitu Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh tiga buah parti mewakili tiga kaum terbesar di Malaysia. Kini, keanggotaan Barisan Nasional telah membesar dengan penambahan beberapa buah parti dari Sabah dan Sarawak.

Kemakmuran kehidupan rakyat Malaysia merupakan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat terdahulu. Kemakmuran ini tidak akan dinikmati tanpa adanya sikap tolak ansur, sederhana dan timbang rasa antara pemimpin yang mewakili kaum terbesar di Malaysia. Ringkasnya, konsep wasatiyah dalam kepelbagaian hidup masyarakat Malaysia telah lama menjadi amalan di negara ini. Oleh itu, tidak hairanlah pada masa kini, pelbagai program yang menggabungkan penyertaan semua rakyat seperti rumah terbuka, perayaan bersama dan sebagainya mendapat sambutan luar biasa rakyat. Oleh itu, cadangan menjadikan Malaysia sebagai contoh sebuah negara Islam yang sederhana bukanlah satu idea yang ganjil.

Walaupun Malaysia terbukti sudah mencapai kemakmuran yang secara relatifnya lebih baik daripada beberapa buah negara jiran, cabaran mengekalkan kemakmuran itu tetap ada. Perkembangan arus globalisasi bukan sahaja menjadikan dunia semakin kecil tetapi turut membawa nilai baharu kepada masyarakat Malaysia. Idea Barat, seperti kesamaan, kebebasan dan hak individu disebarkan secara meluas melalui alat komunikasi terbaharu, seperti Internet, telefon bimbit, televisyen satelit dan komputer mudah alih.

Kini, nilai asal seperti toleransi, sabar, amanah, jujur dan bertimbang rasa terutama dalam hal melibatkan hubungan antara kaum, sudah bercampur dengan nilai baharu yang dibawa dari Barat melalui alat canggih komunikasi itu tadi. Lebih malang lagi apabila idea baharu ini diperoleh secara langsung tanpa adanya nasihat atau pendapat daripada guru di sekolah, pensyarah di universiti ataupun ibu bapa di rumah. Akibatnya idea Barat itu diterima secara terus tanpa disulam dengan konsep agama, bahasa dan bangsa sesuai dengan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, dalam usaha kita menjadikan Malaysia sebagai contoh sebuah negara mengamalkan konsep wasatiyah, kita harus sentiasa berwaspada dengan kedatangan ancaman terutama dari luar negara.

Oleh Zaheruddin Othman

dipetik dalam www.http://dwnmasyarakat.dbp.my.

2 comments

  1. Agustin says:

    Kawan saya email salinan artikel nie pada saya… katanya idea2 dalam
    blog awak memang menarik… saya dah bookmark .. terima kasih dan kalau boleh nak mintak izin share kat fb…

    Feel free to visit my weblog: Zalora Kupon

  2. Brandy says:

    Saya antara pembaca tegar blog dari Msia…

    terus terang kata… saya minat blog awak… walaupun nampak cam simple..
    idea awak memang menarik… tahniah :)

    Also visit my web-site Promosi Jubah

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>