«

»

Nov
21

Usul Retreat Ilmuwan dan Profesional Kelantan 19 November 2016. Tema: Peranan Ilmuwan dan Profesional Kelantan Dalam Memangkin Perpaduan Ummah Dan Pembangunan Masyarakat

IMG-20161119-WA0020

Tema

Peranan Ilmuwan dan Profesional Kelantan Dalam Memangkin Perpaduan Ummah

Dan Pembangunan Masyarakat

Menginsafi penghayatan firman Allah SWT, ‘Dan tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengentahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali, agar mereka dapat menjaga diri (Al-Taubah, 9:122), para ilmuwan dan professional Kelantan seumpama pelita yang memberi sinar dan cahaya menunjuk jalan terbaik kepada masyarakatnya bagi mencapai kesejahteraan dan kebahagian hidup.

Menyedari hakikat negeri Kelantan memiliki warisan nilai, sumber dan potensi yang tinggi dalam segenap segi samada budaya, ekonomi dan politik, maka ia hendaklah digembeleng secara terancang untuk dimanafaatkan oleh seluruh anak negeri demi untuk mengangkat kedudukan masyarakat dan negeri Kelantan sebagai suri teladan sehingga mencapai tahap terbaik, dirahmati dan diampuni oleh Allah SWT. (Firman Allah SWT: ‘Kamu umat Islam adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah’ (Ali ‘Imran, 3:110) dan ‘Makanlah oleh mu dari rezeki (yang dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepadaNya. Negerimu adalah negeri yang baik (nyaman) sedang Tuhanmu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun (Saba’, 9:15)

Memahami tradisi keunggulan ilmu yang tinggi telah menjadi warisan kehidupan masyarakat Kelantan sejak sekian berzaman, kelahiran ramai ilmuwan dan professional Kelantan dalam pelbagai  bidang kemanusiaan dan peradaban yang kini sedang menyumbang bakti segenap pelusuk tanahair adalah kualiti dan potensi besar yang perlu digembleng secara teratur oleh sebuah badan yang bersifat terbuka dan berwawasan besar bagi memanafaatkan mereka demi kesejahteraan masyarakat dan negeri secara menyeluruh.

Menyedari realiti sosial, ekonomi dan budaya masyarakat Kelantan yang tidak terpisah dari berdepan dengan banyak cabaran persekitaran dalaman dan luaran, keutuhan jatidiri dan identiti masyarakat Kelantan hendaklah terus diperkasakan sebagai benteng bagi mendepani penularan wabak sosial negatif, penyebaran pemikiran yang rendah serta pembudayaan amalan hidup yang tidak berdaya maju yang boleh menjejaskan harga diri dan kedudukan masyarakat Kelantan yang tinggi nilai peradabannya.

Bagi tujuan itu, Retreat Ilmuwan dan Profesional Kelantan 2016 mencadangkan usul-usul berikut untuk dibincangkan dan disepakati bersama:

  1. Potensi dan kualiti besar yang dimiliki para ilmuwan dan professional Kelantan hendaklah digembleng secara teratur dan berterusan bagi memastikan idea dan tindakan terbaik mereka dapat disalurkan secara terancang untuk kesejahteraan masyarakat dan negeri. Justeru, Majlis Pemuafakatan Ilmuwan dan Profesional Kelantan hendaklah diasaskan yang diselaraskan oleh Majlis Dakwah Negara-Kelantan bertujuan bagi menghimpunkan kekuatan ilmiah dan ketrampilan yang dimiliki oleh anak-anak negeri bagi manafaat semua pihak.
  2. Pencapaian kesejahteraan masyarakat dan negeri mesti diasaskan pada semangat dan budaya perpaduan ummah yang jitu di kalangan pemimpin dan rakyat. Majlis Dakwah Negara-Kelantan sebagai badan dakwah yang bersifat non-partisan hendaklah memperbanyakkan ruang pertemuan dan kunjung mengunjung di antara  segenap lapisan masyarakat serta menganjurkan aktiviti kependidikan, seminar dan forum bertemakan perpaduan ummah di peringkat akar umbi dengan melibatkan ketokohan para ilmuwan, profesional dan para pemimpin yang berkaliber di Kelantan.
  3. Kesejahteraan masyarakat dan negeri Kelantan pada masa depan perlu diasaskan pada kekuatan ilmu pengentahuan. Gerakan pembangunan ilmu dan pendidikan masyarakat samada bersifat formal dan tidak formal hendaklah dirancang secara tersusun menerusi sebuah pelan jangka pendek dan panjang. Institusi pendidikan pondok, tahfiz dan sekolah agama rakyat sebagai contoh hendak diselaraskan pemerkasaannya dengan sistem pendidikan nasional. Manakala sistem pendidikan lanjutan untuk golongan dewasa perlu terus dibudayakan dan diperluaskan. Satu Jawatankuasa bagi merancang keutuhan pendidikan rakyat Kelantan dicadangkan ditubuhkan yang dianggotai oleh para ilmuwan dan professional Kelantan serta diselaraskan oleh Majlis Dakwah Negara-Kelantan dengan kerjasama institusi pendidikan tinggi di Kelantan berperanan untuk meneliti potensi, menilai pencapaian dan kelemahan seterusnya mencadangkan satu rancangan program pendidikan bersepadu dan berkesan untuk dijayakan.
  4. Potensi dan budaya keusahawanan rakyat Kelantan diakui unik oleh semua pihak. Potensi ini hendaklah disuntik dengan sokongan ilmu, dana dan bimbingan yang terbaik bagi memastikan ia dapat menyumbang secara positif kepada kemakmuran ekonomi rakyat. Bagi tujuan itu, satu Jawatankuasa yang dianggotai para ilmuwan dan professional Kelantan bagi merancang program-program dan pelan bertindak strategik kesejahteraan ekonomi rakyat Kelantan dicadangkan ditubuhkan yang diselaraskan oleh Majlis Dakwah Negara-Kelantan. Jawatankuasa juga wajar mengenalpasti isu-isu ekonomi semasa rakyat Kelantan hari ini seperti persoalan kemiskinan, pengurusan dan pembangunan tanah rizab serta peluang pekerjaan seterusnya mencadangkan langkah-langkah bertindak yang sesuai kepada pihak yang bertanggungjawab atau untuk dilaksanakan secara bersama antara pelbagai organisasi masyarakat.
  5. Para ilmuwan dan professional hendaklah menyokong usaha dan langkah ke arah menjadikan masyarakat Kelantan masyarakat berbudaya.  Umum sedia mengentahui iaitu masyarakat Kelantan terkenal dengan kehalusan seni dan budaya hidup yang luhur. Ia tergambar dalam pelbagai produk yang dihasilkan seperti tenunan kain, lukisan batik, khat, ukiran kayu dan persilatan. Malah ramai sasterawan, budayawan dan seniman Kelantan telah menghasilkan pelbagai karya yang telah mencapai pengiktirafan diperingkat nasional dan antarabangsa. Satu Jawatankuasa khusus hendaklah diselaraskan oleh Majlis Dakwah Negara-Kelantan bagi memanafaatkan potensi dan kualiti sosio-budaya ini demi kebaikan bersama dan mencapai matlamat dakwah yang lebih besar dan menyeluruh.
  6. Peranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau NGO dalam bidang kebajikan, dakwah, sosial dan kebudayaan amat penting dalam menjayakan kesejahteraan masyarakat dan perpaduan ummah. Peranan NGO terutama dalam menjayakan aktiviti pembangunan keluarga dan generasi muda, bantuan  masyarakat daif dan orang kurang upaya, pendidikan saudara baru dan orang Asli adalah sumbangan besar.   NGO yang berkesan mampu menjadi benteng menangani wabak sosial yang dihadapi masyarakat Kelantan hari ini. Satu kerjasama dan jaringan akrab hendaklah diperkukuhkan di antara pemimpin dan warga NGO dengan para ilmuwan dan professional Kelantan. Majlis Dakwah Negara-Kelantan hendaklah merencana aktiviti penyelarasan gerak kerja bersama-sama dengan NGO di Kelantan dan mengenalpasti cabaran dan halangan yang dihadapi oleh NGO Kelantan hari ini serta langkah-langkah bagi pengupayaan fungsi mereka dengan lebih berkesan pada masa akan datang.
  7. Perhimpunan Ilmuwan dan Profesional Kelantan dicadangkan dianjurkan secara tahunan dengan melibatkan lebih ramai lagi penyertaan. Kegiatan suaikenal dan temu mesra pada hari-hari perayaan hendaklah dianjurkan dari semasa ke semasa. Ia sebagai wadah interaksi bertukar idea dan buah fikiran serta mengukuhkan ukhwah dan silaturahim di kalangan ilmuwan dan professional Kelantan yang berada di dalam atau luar negara.

Sekian

IMG-20161119-WA0019

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>