«

»

Nov
01

KAMI MAHU JADI PENDAMAI

IG forum perpaduan ummah tganu MDNPerbezaan merupakan kehendak ilahi, juga demi kelestarian hidup, sekali gus demi mencapai tujuan kehidupan makhluk di pentas bumi.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud: “Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan.

Seandainya Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Allah hendak menguji kamu mengenai pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.”

Seandainya Tuhan menghendaki kesatuan pendapat, nescaya diciptakanNya manusia tanpa akal budi seperti binatang, atau benda-benda tak bernyawa yang tidak memiliki kemampuan memilih, kerana hanya dengan demikian seluruhnya akan menjadi satu pendapat.

Ada yang berpendapat bahawa ukhuwah lslamiah hanya boleh diwujudkan apabila seluruh umat Islam menjadi satu dan seragam dalam segala hal. Ini adalah pandangan yang keliru.

Al-Quran sendiri mengatakan yang bermaksud:

“Dan kalau Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu dalam agama Allah) dan untuk perselisihan dan rahmat itulah Allah menjadikan manusia…” (Surah Hud: 118-119).

Ukhuwah yang biasa diertikan sebagai ‘persaudaraan’, diambil daripada akar kata yang pada mulanya bererti “memerhatikan’. Makna asal ini memberi kesan bahawa persaudaraan mengharuskan adanya perhatian semua pihak yang merasa mereka bersaudara. Maknanya, setiap orang Islam hendaklah menanamkan perasaan dalam diri masing-masing bahawa mereka antara satu sama lain adalah bersaudara.

Dalam satu hadis nabi SAW mengenai Ukhuwwah fi din Al-Islam, iaitu persaudaraan antara sesama Islam bermaksud; “Kamu adalah sahabat-sahabatku, persaudaraan, saudara-saudara kita adalah yang datang sesudah (wafat) ku.”

Al-Quran ada menyebut bahawa sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara dan yang menjadikan mereka bersaudara ialah akidah keimanan. Keutuhan mereka tidak akan terpecah melainkan jika mereka murtad daripada Islam.

Ukhuwah Islamiah merupakan satu istilah yang sudah diterima di kalangan masyarakat iaitu suatu persaudaraan yang berdasarkan iman. Jadi istilah yang lebih tepat sebenarnya adalah ukhuwah imaniyyah kerana di dalam aI-Quran, persaudaraan ini memang dikaitkan langsung dengan iman. Renungi maksud firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu; dan bertawakallah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat: 10)

Maksud firman Allah ini dimulai dengan semacam satu ketetapan bahawa umat Islam pasti akan berpecah-belah. Dalam situasi berpecah-belah itu, masing-masing akan berusaha untuk menghancurkan atau mengalahkan satu sama lain.

Sejarah telah mencatat bahawa peristiwa kewafatan Rasulullah SAW hampir mencetuskan pergaduhan sesama muslim sehingga Umar mengambil inisiatif dengan tegas meminta semuanya bersetuju melantik Abu Bakar sebagai pengganti Rasulullah SAW.

Demikianlah seterusnya suasana tidak aman dan konflik timbul di kalangan umat Islam pada zaman pemerintahan Uthman (Bani Umaiyah) dan Ali. Dan kalau kembali pada surah AI-Hujuraat ayat 9, ajaran tentang ukuran yang seharusnya dilakukan untuk menyelesaikan konflik, di mana Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan dengan adil (menurut hukum Allah), sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Seterusnya sangat relevan jika kita renungi firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 11 yang memberi petunjuk atau teknik yang sangat praktikal bagaimana untuk memelihara ukhuwah dalam konteks kehidupan umat Islam sekarang.

Memang sebahagian daripada prasangka itu dianggap sebagai satu sikap waspada.

Mungkin pada tempat-tempat atau saat-saat tertentu di mana kita harus berprasangka kepada orang kerana situasi sekarang berkehendakkan begitu sebagai satu ‘kewaspadaan’. Itu tidak berdosa. Tetapi kalau terlalu berprasangka seperti dinyatakan al-Quran tadi, maka besar sekali kemungkinan kita jatuh kepada prasangka yang dosa.

Demikian al-Quran memberikan dasar ajaran bagi mengubah dan menegakkan ukhuwah lslamiah sebagaimana terkandung dalam ayat suci al-Quran surah al-Hujuraat ayat 9 hingga 13 yang memuatkan banyak falsafah ukhuwah lslamiah.

Inti ajarannya ialah mencari jalan damai ketika berselisih, tidak melampaui batas dalam perselisihan, bersikap jujur, saling menghargai dan bersikap rendah hati untuk mengakui kesalahan sendiri.

Justeru kita mengakui al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup, seharusnya kita berusaha mencipta kebaikan dalam kehidupan ini. Kita harus memperbaiki hubungan persaudaraan sesama Islam dan mencipta perdamaian di antara pihak-pihak yang bermusuhan.

Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

Leave a Reply

Your email address will not be published.

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>